PENGENALAN DIRI PENULIS

Teks: Suehaiza Salam

SALAM PERKENALAN.

Tanggal 16 Februari 1982 jam 08.05 malam, Siti Suhaiza binti Mohd Salam dilahirkan di Hospital Lourdes, Kuala Lumpur.  Merupakan puteri sulung dari empat orang adik beradik yang kesemuanya adalah perempuan.
Ayah yang dipanggil Papa, bekerja sebagai Pegawai Bank dan Mama bekerja di sebuah organisasi Kerajaan.
Dibesarkan dengan penuh disiplin dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi oleh ayah dan ibu, alhamdulillah semua itu dijadikan sebagai panduan hidup sehingga kini.

Bersekolah di Sekolah Menengah Pandan Jaya sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan Pangkat Satu.  Selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA dalam DiPloma Pengurusan Pejabat dan Teknologi. Tamat sahaja belajar pada tahun 2003, terus dapat pekerjaan di Bank Simpanan Nasional sebagai Pembantu Peribadi secara Kontrak di Jabatan Khidmat Bayaran.  Terlalu banyak ilmu yang dapat dikutip sepanjang setahun saya bekerja di sini. Selepas setahun, satu hari ternampak iklan pekerjaan yang ditawarkan oleh MARA iaitu Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan).  Ayah cepat-cepat suruh mohon sebab sejak dulu lagi beliau berkehendakkan saya bekerja dalam sektor Kerajaan. Sebagai anak yang taat, saya pun hantar permohonan tersebut.  Walau dalam hati berat hendak meninggalkan dunia pekerjaan swasta yang bagi saya amat mencabar.

Bulan Disember 2004 saya mendapat panggilan dari MARA mengatakan saya berjaya dalam temuduga 6 bulan yang lepas.  Saya diminta melaporkan diri pada 17 Januari 2005 di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat, Kuala Lumpur.  Bahagian Pembiayaan Perniagaan, disitulah bermulanya kerjaya saya sebagai Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) di MARA.

MARA banyak meninggalkan kenangan manis buat saya. Salah satunya ialah bertemu dengan suami saya Mohd Suhaimi bin Ariffin yang juga bekerja di MARA.  Kami berkahwin pada Februari 2008 selepas setahun berkenalan.  Bermulanya episod saya sebagai seorang isteri yang mana selepas 3 hari berkahwin kami telah pun berpindah ke rumah sewa di Jinjang Utara, Kuala Lumpur.
Syukur alhamdulillah saya dikurniakan suami yang amat bertanggungjawab dan amat menyayangi saya walaupun perkenalan kami agak singkat.

Selepas beberapa bulan berkahwin, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Pengurusan Perniagaan.  Pada masa itu suami saya telah pun tamat dua semester belajar secara separuh masa di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Kejuruteraan. Dia juga menyambung pelajaran di peringkat Ijazah.  Dengan sokongan suami dan keluarga, saya berjaya mendapat tempat di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.  Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar separuh masa, di mana kelas saya hanya pada Sabtu dan Ahad setiap dua minggu.  Dalam tahun yang sama juga, saya disahkan mengandung.  Hanya Allah yang Mengetahui betapa gembiranya kami.  Dan paling gembira tentulah keluarga kami.  Masing-masing menunggu kelahiran cucu pertama dalam keluarga ini.

Hasil perkongsian hidup dengan suami kami dikurniakan tiga orang cahaya mata. Siti Nur Batrisyia, Muhammad Syaamil Bisyari dan Siti Nur Basyeerah.
Alhamdulillah ketiga-tiga anak saya membesar dengan baik dan sihat.

Kerjaya saya sebagai Setiausaha di MARA berjalan dengan baik. Dalam masa yang sama, saya juga teringin hendak menambah pendapatan sendiri dan membantu kedua ibu bapa saya yang telah bersara.  Pada tahun 2013 saya diperkenalkan dengan perniagaan MLM Hai-O.  Perjalanan perniagaan bermentor dengan Hai-O meninggalkan banyak kenangan manis sehingga saya berjaya mendapat tajaan percutian secara percuma ke Gold Coast, Australia.

Kini saya masih lagi menjalankan perniagaan online dengan produk Hai-O. Kesibukan menguruskan keluarga dan kerjaya membuatkan saya tidak begitu aktif.  Tambahan anak sulung telah mula bersekolah, segalanya perlu saya uruskan termasuk anak kedua dan ketiga.

Namun minat untuk terus berniaga itu tidak akan saya lupakan. Tambahan dengan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, kenaikan harga barang yang semakin mencengkam, saya fikir ingin menyertai bidang perniagaan lain juga.
Sebenarnya seronok bila menguruskan segalanya sendiri, bermakna masa saya terisi dengan aktiviti. Harapan saya dapat berjaya dalam kerjaya, dalam online business seterusnya dapat mendidik anak-anak saya berjaya di dunia dan akhirat.


Comments

Popular posts from this blog

MASALAH SEKITAR MATA? CUBA KRIM MATA MARY KAY DENGAN FUNGSI YANG BERBEZA

10 CIRI USAHAWAN WANITA BERJAYA

PENTINGNYA SARAPAN PAGI UNTUK ANAK-ANAK